Bismillahirrahmanirrahim,
Nama saya Wan Muhammad Izhar bin Wan Ismail. Seorang yang masih lagi belajar di sekolah tetapi sudah berada di hujung bangku alam persekolahan. Kini sebagai pelajar rasmi di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Dilahirkan pada 27 April 1996 di Klinik Pakar Bersalin Sheila, Klang. Saya mula disekolahkan di SK HICOM Seksyen 27 dan KAFA Taman Bukit Saga sewaktu saya berada di darjah 1 lagi. Alam persekolahan sememangnya suatu yang amat menggembirakan. Saya masih ingat lagi sewaktu pertama kali saya jejakkan kaki ke sekolah semasa darjah 1, saya melihat ramai para pelajar yang lain teresak-esak di bawah pelukan ibu masing-masing. Walaubagaimanapun, hal sedemikian tidak berlaku kepada saya. Sehingga sekarang saya masih ingat lagi ayat yang saya lontarkan kepada ibu saya, "Mama baliklah dulu. Izhar boleh duduk sekolah dengan kawan-kawan. Izhar tak nangis."Setiap kali terkenang pengalaman tersebut, pasti menjadi tak kering gusi. Sungguh banyak lagi pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar agar diri tidak mudah melupakan diri-NYA. Memang benar kata-kata itu,
'PENGALAMAN MENGAJAR MANUSIA ERTI KEHIDUPAN SEBENAR'
Tanpa pengalaman, manusia akan menjadi ketandusan idea untuk melakukan sesuatu, menjadi kaku untuk berfikir dan menjadi hilang arah dalam menginterpretasi sesebuah perkara. Pengalaman jugalah yang menjadikan manusia lebih matang. Saya rasa tanpa pengalaman, saya tidak akan berjaya. Pengalaman itu bukanlah bermaksud harus merantau jauh ke benua lain baru dinamakan pengalaman, malah belajar di sekolah juga merupakan satu pengalaman.
\
Pengalaman belajar pasti ada pahit dan manisnya. Memang sukar untuk kita mengharungi sesuatu perkara, malah kita pun mengambil masa untuk belajar berjalan sewaktu kita di alam bayi dahulu kala. Tetapi apakah hasil usaha yang kita dapat setelah kita banyak kali berusaha belajar untuk berjalan? Tentulah kita dapat berjalan dengan baik seperti sekarang. Dan samalah juga dengan kita belajar. Penuh dengan kesusahan dan liku-liku masalah yang harus ditangani. Namun, semua itu boleh ditepis hanya dengan kesabaran dan pengorbanan yang besar tanpa keraguan. Setiap manusia juga pasti akan dihiasi dengan pelbagai masalah tidak kira berat atau ringan sesuai Allah berikan mengikut kemampuan seseorang. Masalah itu juga mengajar manusia makna ketabahan hidup. Ujian demi ujian Allah turunkan untuk melihat sama ada kita masih bersabar ataupun masih angkuh kepada-NYA. Alangkah malangnya nasib orang kaya yang tidak mengingati Allah kerana kekayaan juga merupakan sebuah ujian dari Allah. Alangkah ruginya seorang yang miskin merungut dengan segala ujian yang diberikan Allah. Ingatlah,
'BERSABARLAH WALAU TERPAKSA MENGHARUNGI ONAK DURI'
WALANABLUWANNAKUM BISHAI'IN...
Kendatipun begitu, taqwa juga harus menjadi asas pegangan dalam hidup seseorang muslim.Dalam suatu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Khattab r.a. bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka'ab tentang taqwa. Ubay bertanya kembali,
BUKANKAH ANDA PERNAH MELEWATI JALAN BERDURI?
“Ya”, jawab Umar Al Khattab.
“Apa yang anda lakukan saat itu?”
“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa.” kata Ubay bin Ka’ab r.a.
Berdasarkan dari jawapan Ubay atas pertanyaan Umar, Sayyid Quthub berkata dalam tafsir Az-Zhilal,“Itulah erti taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus selalu waspada dan hati-hati jangan sampai sampai terkena duri jalanan. Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan. Ketakutan palsu dari sesuatu yang tidak wajar untuk ditakuti dan masih banyak duri-duri yang lainnya.”
Seronok sebenarnya kita bertaaruf dengan rakan yang lain. Selain kita mengeratkan hubungan persaudaraan, kita juga mampu berkongsi pendapat. Pada waktu ini, antum berkenalan dengan ana sebagai seorang manusia, tetapi in sya allah sekiranya kita tidak berjumpa di dunia fanaq ini, maka berdoalah agar kita ditemukan di syurga sebagai ahlul jannah.
Sebenarnya bertaaruf ini diperkenalkan kepada ana di Sambestari dan selanjutnya di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Ikuti kisah yang seterusnya pada waktu kemudian. Ingatlah, kita tetap hebat kerana kita muslim. Selagi kita berpegang pada panji kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah untuk mentaati Allah, maka kita adalah orang yang gagah kerana sentiasa mendapat perlindungan-NYA.
YAKIN, SABAR, SOLAT
No comments:
Post a Comment